Konfesi Sebuah Kecelakaan

ULASAN yang tertangguh tentang Konfesi Prebet Adam, sebuah kupasan yang tertinggal dalam lipatan sejarah, kini muncul setelah wataknya tiada lagi di dunia.

Naskhah yang ada di tangan saya adalah cetakan terdahulu, tahun 2017 terbitan DuBook, bertandatangan dan sampai terus daripada penulisnya pada Oktober 2020. Waktu itu buku ini boleh dikira naskhah langka kerana tiada lagi di pasaran.

Ini bukan fiksyen sejarah ataupun inspirasi daripada kisah benar. Ini adalah konfesi sebenar yang disusun dengan penuh kredibel oleh penulis yang bukan calang-calang. Kisah seorang prebet muda yang hilang punca di tengah ibu kota, terbeban dengan kecelaruan fikiran, diseret dengan persepsi rekaan dan terhumban ke episod hidup yang malang.

Menelusuri kisah ini memberi kita bermacam sebab untuk bersyukur, bahawa kita tidak diuji berada di tempat yang salah pada waktu yang salah, bertemu dengan orang yang salah dan dikenderai pula oleh tangan-tangan yang salah untuk sebuah agenda yang salah hingga membawa kepada nasib yang salah. Ah, salah semuanya.

Yang tidak salah ialah kebenarannya sempat terungkap sebelum dia pergi bertemu Ilahi. Untuk ini, penghargaan yang besar perlu diberi kepada penulis yang sungguh berani meneroka dan mengolah kisah benar ini agar tersimpan sebagai khazanah sejarah.

Konfesi Prebet Adam, sentuhan wartawan lejen yang juga pempengaruh dikenali ramai, sdr Syahril A. Kadir kini diterbitkan semula melalui penerbit baharu Garasi TV. Saya tidaklah membeli semula edisi terkemaskini, tetapi menurut penulisnya yang ditemui di #PBAKL2022 baru-baru ini, dua bab baharu ditambah dengan satunya adalah temubual bersama keluarga Adam Jaafar sekembalinya ke negeri abadi. Penutup kepada sebuah kisah yang telah lama disalahfahamkan oleh kebanyakan orang.

Teruskan berkarya, barang baik kita sokong!

Comments

Popular posts from this blog

Sepi Seorang Putera

Seni Berkata Tidak